Wednesday, September 9, 2009

we were mentioned in this article, thanks!

Sunday, August 16, 2009

Bila ‘Pop MTV’ Memprotes

Secara peribadi, agak susah untuk saya mempercayai jika dunia ini akan benar-benar aman, sampailah waktunya dunia ini kiamat, barangkali. Jika membaca sejarah, suka atau tidak, hakikatnya saya sedang membaca cerita tentang peperangan. Jika tidak di sini, orang di sana akan berhadapan dengan peperangan. Dan jika tidak di sana, ya, di sini. Asasnya ialah kerana merebut punca-punca ekonomi. Mungkin kerana subjek peperangan dan kemusnahan ini sudah menjadi hal yang sebati dengan ketamadunan manusia, maka subjek ini kerap dijadikan modal untuk para seniman/karyawan beronani, err, maksud saya berkreatif. Bukankah seniman itu lazimnya para fantasis yang mengidamkan dunia aman harmoni? Buktinya – filem, lukisan, novel, puisi, muzik, teater, stensil – bahkan apa saja cabang seni tak terlepas dari mengangkat subjek/tema peperangan sebagai satu bentuk luahan fikiran dan isi hati, selain dari berpotensi menimbulkan kesedaran insaniah manusia.

Pun begitu, tiada hal yang menjengkelkan, malah melucukan juga selain dari melihat beberapa klip video beberapa kumpulan muzik tempatan, khususnya yang menyarung label ‘indie’, yang ghairah memperlihatkan sikap prihatin dan sensitif terhadap isu keamanan sejagat. Kebiasaanya, dalam klip video yang berbekalkan lirik anti-perang dan pro-keamanan ini akan menampilkan footages peperangan, rusuhan, kebuluran, kemiskinan, kemusnahan bandar, tembakan gas pemedih mata, ah, bayangkan apa saja yang terkait dengan malapetaka peperangan dan huru-hara. Video rakaman pembantaian manusia dan malapetaka peperangan nampaknya tak lebih sekadar modal untuk dipertonton/dipersembah semula sebagai satu bentuk hiburan, kenikmatan dan modal kreativiti. Seolah-olah footages peperangan/huru-hara jadi sumber kreatif melengkapkan sebuah ‘karya agung.’ Bagi saya, ini kerja manipulasi dan eksploitasi kreativiti yang tak bermoral. Sebabnya? Sila lanjutkan pembacaan anda.

Taktik kebiasaan yang dilakukan ialah culik sedutan rakaman dari mana-mana peristiwa perang/huru-hara, kemudian tampalkan di mana-mana bahagian yang dirasakan sesuai, selalunya bergantung pada lirik. Jika liriknya ada perkataan ‘explode’ maka sepantas kilat – BOOM! – visual akan memaparkan imej letupan bom. Bagi saya, ini hanya untuk melayan syahwat kreativiti. Visual letupan bom, kematian, kebuluran, rusuhan dan pelbagai lagi pembantaian manusia hanya berperanan sebagai aesthetic device dalam penghasilan video muzik sebegini. Ia berfungsi sebagai ‘ajinamoto’. Harap-harap, dengan adanya visual itu, ia akan menambahkan lagi kesan ‘emosi’ terhadap lagu – ya, LAGU – bukan keinsafan sebenar terhadap segala kebejatan di alam nyata.

Dari segi hukum, ia juga berbeza dengan pembuatan filem. Visual dalam filem itu essential, crucial, ia sememangnya wajib terletak di dalam bingkai. Filem itu visual yang bergerak. Sedangkan visual dalam video muzik ini pula tujuannya untuk menyokong keberadaan muzik itu sendiri kerana hakikatnya muzik berpaksikan ritma dan melodi, bukan visual. Maknanya, tanpa kehadiran visual, muzik itu tetap wujud dan boleh dinikmati. Sama juga filem yang boleh wujud tanpa audio muzik, selagi ada gambar. Fungsi visual-visual malapetaka dalam klip video ini diselit dengan harapan ianya akan kelihatan smart. Sekilas pandang, ia seakan-akan cuba menimbulkan ‘kesedaran’ tentang bahana peperangan/kezaliman/penindasan. Senang cerita, ia kelihatan moralistik sekali. Tapi hakikatnya, video ini berjaya disiapkan ‘ehsan’ dari kesengsaraan orang lain. Sedangkan orang yang benar-benar menghadapi saat-saat getir itu seperti sedang berhadapan dengan malaikat maut.

Soalnya, cantik lawa ini untuk apa? Untuk tatapan siapa? Paling parah kalau ia dilayarkan di kaca TV seperti MTV atau V Channel. Stesen TV seperti itu hanya untuk tontonan manusia yang mencari nikmat sementara untuk bebas dari lelah kehidupan. Ia adalah ruang eskapisme, hiburan ringan, rehat sementara, sebelum kembali membanting tulang. Jadi, letaklah apa saja gambar/imej di situ, ia akan sampai kepada motif akhir yang sama, yakni hiburan ringan. Tiada sesiapa yang akan mengambil serius akan apa saja yang dipaparkan melalui MTV/V Channel, dll, secara amnya. Asas dakwaan ini, produk hiburan seperti MTV ini dari segi mekanisme-nya memang untuk itu (hiburan ringan), yang dibuktikan melalui unsur-unsur pop; multiwarna, glossy, grafik, animasi, fesyen, tarian, selebriti, carta muzik, kereta mahal/antik/sport, motosikal kuasa tinggi, susuk gadis ranggi, pemuda kacak, dsb. Klip video ‘anti-perang’ ini pula terselit di celah-celah puluhan lagi klip video lain yang ‘tidak anti-perang’. Mungkin selepas ianya tamat, seterusnya muncul klip video hip-hop yang sarat dengan visual wanita seksi, arak, kereta, loket sebesar gajah, taburan kertas dollar, dll.

Kemunculan visual seperti itu telah memadamkan kesedaran yang cuba ditimbulkan oleh video ‘anti-perang’ tadi. Jadi, apa maknanya semua ini? Ini menandakan video muzik ‘anti-perang’ sebenarnya hanyalah sebahagian dari program yang menghadiahkan candu eskapisme demi kenikmatan sementara semata-mata. Tiada bezanya dengan klip video hip-hop, atau lagu-lagu jiwang. Hiburan ini pula bersekongkol dengan iklan mempromosi produk konsumer kapitalisme, yang mana di akhirnya, semua jalinan muzik-iklan-budaya konsumer ini adalah sebahagian dari manifestasi kestabilan dan kelangsungan hukum kapitalisme moden itu sendiri. Jadi akhirnya, video-video dengan imej peperangan ini sekadar mengisi slot ‘hiburan’ untuk dipuji-puji sebagai cool, awesome, gempak, terbaikkkk!

Sedang ramai yang kagum, saya pula kaget melihat video-video pembohong sebegitu. Kerana soalnya adakah pemuzik-pemuzik ini benar-benar ambil kesah ataupun sensitif dengan soal hak asasi manusia? Tak susah untuk meneka bahawa tema perang diangkat tak lebih sekadar strategi menempel pada keberadaan situasi, mahu dilihat turut serta dan tak mahu ketinggalan untuk meninggalkan secebis dua kata-kata kesat kepada kuasa yang mencetuskan peperangan/huru-hara ke atas dunia ini. Pendek kata, mereka seakan mahu namanya turut terpahat sebagai artis yang ‘cintakan keamanan.’ Mereka mahu dilihat bak Zack de la Rocha, kalau boleh. Atau paling kutu pun, Bono U2. (ironinya, klip video rock star ini pun berputar di MTV) Retorik ini bertambak busuk sekiranya kehidupan sebenar ahli-ahli kumpulan seperti ini serba selesa, mungkin saja mewah. Yang sedihnya, mereka hanya berani berjuang dari kejauhan. Buktinya, visual yang kerap dikitar semula adalah visual peperangan di negara lain seperti di Palestin (of course!), Iraq, Afghanistan, Rwanda, Somalia, dan anda pun tahu apa lagi, kan? Tapi tiada satu pun klip yang menayangkan kebangsatan di negara sendiri. Seolah-olah negara ini syurga dunia yang sungguh permai tanpa sebarang pencabulan hak asasi.

Lalu, ada la di kalangan kelompok ini yang sibuk dengan ludah negara orang, tapi ludah negara sendiri buat bodoh saja. Mereka mahu kelihatan seperti hero-hero dunia yang memperjuang isu keamanan dan keadilan, seperti Bob Dylan atau Marley, tapi kecut perut untuk mengkritik negara sendiri. Itu pasal la saya geli dengan album yang meletakkan satu dua lagu-lagu protes itu ini, atau berbicara tentang keadilan dan hak asasi yang sengaja diselit biar nanti album itu nampak lebih cool. Poyo! Sedangkan artis-artis besar luar negara tak takut untuk menghentam negara mereka sendiri dan sangat konsisten dengan apa yang diperjuangkan, bukan sesaja untuk melengkapkan trek album. Tak percaya? Zack de la Rocha mengkritik USA, Iwan Fals menggoncang pemerintah Indonesia dan Bob Marley bernyanyi tentang Jamaica sampai dia mati. Yang di negara ini pula berangan nak jadi hero dunia, konon! Mungkin mereka ini sangat terpengaruh dengan perwira-perwira anti-perang di MTV yang nampak macam best je, kot. Dasar nak jadi rock star!

Namun sayang sekali, jerit pekik terlolong mereka hanyalah tembelang kepura-puraan. Tembelang pecah apabila mereka tak angkat pot sama isu keadilan/keamanan di negara sendiri. Bila timbul isu ISA misalnya, masing-masing senyap menikus, tak nampak batang hidung sebab menyorok dalam pangsapuri atau banglo (ibu bapa) masing-masing. Apakah mereka takut kena gam oleh stesen TV, dek kerana menghentam kekuasaan pemerintah? Atau takut peluang untuk muncul di majalah Hai terkatup? Atau paling tidak, apakah pendirian mereka dalam soal hak asasi manusia di negara sendiri seperti penghapusan kampung-kampung yang dicop sebagai setinggan, seperti yang terkini, di Kampung Buah Pala? Kenapa tak diletakkan visual jentolak meroboh rumah-rumah di Kampung Berembang, misalnya, kalau benar dan jujur mahu menimbulkan kesedaran sosial di kalangan pendengar/penonton? OK lah, tak semestinya menghentam. Kalau menyokong ISA sekalipun, atas dasar apa? Atau paling tidak pun, timbulkan kesedaran awam terhadap pencabulan hak asasi di negara terdekat, seperti yang berlaku di selatan Thai. Bahkan saya menganggap, walaupun kualitinya mungkin buruk, namun video ‘goyang gerudi’ Inul Darasista itu lebih beretika kerana sekurang-kurangnya ia tulen, bergoyang kerana benar-benar ingin bergoyang!

Disebabkan pembohongan halus ini juga, saya langsung tak meletakkan sebarang harapan terhadap lagu-lagu konon pro keamanan itu semua untuk membakar semangat perubahan sosial. Lagu-lagu seperti itu saya yakin dalam masa yang singkat akan dilupakan begitu sahaja. Perlu tahu, setiap perubahan sosio-politik memerlukan anthem untuk melestarikan perjuangan tersebut. Perubahan sosial atau kata omongannya r.e.v.o.l.u.s.i ini mestilah mendasar kepada perjuangan dalam konteks lokal. Nak nyanyikan lagu revolusi untuk negera Iraq buat apa? Bukannya mereka dengar pun! Untuk apa saya poyo sampai menyentuh soal perubahan sosial? Loh, bikin lagu keamanan atau anti perang itu untuk apa kalau bukan untuk perubahan sosial, biar kehidupan itu bertambah baik. Kenyataannya ialah, setiap pejuang kemanusiaan tulen adalah lokalis. Dan kerana sifat lokalis inilah barulah mereka diiktiraf sebagai internasionalis sebenar! Oh, bukanlah saya menegah sebarang sifat sensitif dan simpati terhadap penindasan manusia di luar negara, cuma kerana kalau betul sensitif, mereka sewajarnya lebih sensitif dan prihatin dengan perkara-perkara bejat yang paling dekat dengan mereka. Kalau mereka tak tahu, nah, itu tandanya mereka sebenarnya tak peduli, apa lagi sensitif!

Ingat ya, ini bukan soal estetika kosmetik, sama ada mutu klip video itu bagus ataupun tidak. Saya tak berminat dengan soal itu. Tapi ini soal prinsip yang mereka pegang sebagai pemuzik/artis (konon). Maksud saya, sejauh mana dekatnya rakaman-rakaman itu dengan realiti hidup ataupun prinsip hidup mereka sebagai pengkarya? Lagipun, bukanlah menghairankan jika di luar sana terdapat bersepah-sepah klip video yang memang menarik dan berkualiti. Setidak-tidaknya bagi memenuhi slot hiburan ringan. Tambahan pula, soal kualiti itu pada saya adalah konstruktif. Ia boleh dibentuk. Tapi bagaimana dengan soal yang lagi penting dalam sesebuah kerja kreatif iaitu kebenaran? Jika mahu benar-benar selamat dengan sikap ‘berkecuali’, atau tak mahu bau-bau politikal dihidu dalam lagu mereka, ah, nyanyikan saja lagu ‘adik-abang’ itu. Setidak-tidaknya, yang butch itu tak bertukar menjadi bitch. OK la, kalau bebal tak faham-faham juga, sila bertanya kepada kugiran Dum Dum Tak.


DEWA

article taken from here

2 comments:

Anonymous said...

perperangan tak kan berhenti selagi umat manusia mempunyaai hati yang busuk,hasat dengki,tamak haloba,,
memang betol perperang berpunca daripada perebutan punca ekonomi seperti mana u.s sedang lakonkan sejak dulu lagi...
tapi sebelum kita berfikir bagaimana cara untuk kita menghentikan perang ada baiknye kalau kita berfikir bagaimana kita hendak menghentikan gejala kemiskinan tegar di negara kita..
kemiskinan tegar nie banyak berlaku di pelusuk2 kampung,.
yang menjadi hairanya adakah wakil2 rakyat yang telah dipilih oleh rakyat tidak menjalankan tanggung jawab beliau sebagai wakil rakyat?
adakah beliau terlalu sibuk untuk masuk dan melawat setiap kampung dalam jajahan beliau?
adakah beliau cuma berjanji kosong semasa mejalankan kempen pilihan raya?
adakah rakyat perlu tergolong dalam golongan pengampu seperti mana yang sedia kata tahu..
agak sedih apabila negara sudah merdeka lebih dari 50tahun dan dalam masa yang sama lebih 50tahun rakyat di tipu..
lagi sedih bila rakyat itu sendiri tidak sedar yang selama ini mereka sedang di tipu...agaknye sampai kiamat kot perkara ianya berterusan,,
bukan kepada BN sahaja,
aku tujukan nie kepada semua parti yang mempunyai wakil rakyat..
BN semamangnye dari dulu lagi menipu dengan palbagai cerita rekaanye.
BN nie saling tak ubah macam US..
mereka pelbagai cerita untuk menjatuhkan lawan dan memanipulasikan keadaan.
sibuk denagn projek mega sampai sanggup menindas rakyat sendiri.
habis tanah dirampas,
habis rumah dirobohkan,
pendapatan negara disalah gunakan.
ratyat jugak yang merana,
baik pak lah baik najib,
sama je,
agaknye mereka nie bertuhan kan duit kot,
dimanakah keadilan untuk rakyat?
hidup tiada pembelaan..

Anonymous said...

apa bleh aku kata .. scene kita dah dicemari

dulu underground, kini indie
dulu protes, skang wat bodoh
dulu diy, kini dit
dulu low profile, skang mainstream
dulu gig murah, skang mahal
dulu cover cd/tape fotostat, kini glossy cover
dulu lirik radikal, skang jiwang
dulu pogo ganas, skang sopan
dulu unite, kini saling fuck

aku da bosan